Apr 18, 2009

Koponen Kecergasan Fizikal

Komponen kecergasan Fizikal terahagi kepada dua bahagian iaitu kecergasan berasaskan kesihatan dan kecergasan berasaskan lakuan motor. Seseorang yang sihat perlu mempunyai kecergasan berasaskan kesihatan tetapi sekiranya seseorang yang ingin mempunyai prestasi yang tinggi dan mantap seperti atlit, ia perlu menguasai kedua-duanya sekali gus.

Kecergasan Fizikal Berlandaskan Kesihatan
Kecergasan fizikal berlandaskan kesihatan berkait rapat dengan penjagaan
kesihatan diri secara keseluruhan. Kecergasan ini merangkumi lima
komponen utama, iaitu:

1. Daya tahan kardiorespiratori
Daya tahan kardiorespiratori atau kardiovaskular ini didefinisikan
sebagai keupayaan untuk menghantar nutrien, terutama oksigen, ke
otot-otot yang bekerja dan mengangkut keluar hasil buangan ketika
kerja fizikal yang berterusan. Komponen ini melibatkan efisiensi
jantung, salur darah dan paru-paru.

2. Daya tahan otot
Daya tahan otot didefinisikan sebagai keupayaan otot menghasilkan
daya submaksimum yang berulang-ulang mengatasi rintangan atau
mengekalkan kontraksi otot berterusan untuk suatu jangka masa yang
panjang. Komponen ini merangkumi aktiviti yang melibatkan suatu
jangka masa yang panjang pada intensiti yang rendah.

3. Kekuatan otot
Kekuatan otot didefinisikan sebagai keupayaan sesuatu otot atau
kumpulan otot menghasilkan daya maksimum mengatasi rintangan.
Komponen ini merangkumi aktiviti yang melibatkan suatu jangka
masa yang pendek pada intensiti yang tinggi.

4. Fleksibiliti
Fleksibiliti merujuk pergerakan sesuatu sendi melalui julat pergerakan
sepenuhnya. Fleksibiliti perlu bagi pergerakan yang lancar dan efisien,
juga dapat mencegah daripada berlakunya kecederaan pada bahagian
sendi dan otot.

5. Komposisi badan
Komposisi badan merujuk perkadaran jumlah lemak badan dengan
berat tanpa lemak. Peratusan lemak badan adalah pengukuran
kegemukan yang lebih baik berbanding berat badan. Kelebihan lemak
dalam badan amat berkaitan dengan pelbagai jenis penyakit kronik.


Kecergasan Berlandaskan Perlakuan Motor

Kecergasan berlandaskan perlakuan motor berkait rapat dengan
pencapaian kemahiran dalam aktiviti sukan. Kecergasan ini merangkumi
enam komponen, iaitu:

1. Kepantasan
Kepantasan didefinisikan sebagai keupayaan melakukan pergerakan
dalam suatu jangka masa yang singkat.

2. Kuasa
Kuasa berkait rapat dengan kadar melakukan sesuatu kerja.

3. Koordinasi
Koordinasi berkait rapat dengan keupayaan menggunakan deria
seperti penglihatan dan pendengaran bersama dengan anggota badan
dalam melakukan pergerakan motor dengan lancar dan tepat.

4. Keseimbangan
Keseimbangan berkait rapat dengan keupayaan mengekalkan
keseimbangan ketika dalam keadaan statik atau bergerak.

5. Ketangkasan
Ketangkasan berkait rapat dengan keupayaan mengubah haluan atau
pergerakan dengan pantas dan tepat melalui ruang.

6. Masa tindak balas
Masa tindak balas berkait rapat dengan masa antara suatu stimulus
dengan permulaan tindakan kepada stimulus tersebut.

No comments:

Post a Comment

Komen anda membina kami